Wednesday, November 18, 2009

PRA-PELANCARAN & SIDANG MEDIA


Satu majlis pra-pelancaran (soft launching) dan sidang media bagi memulakan usaha mengumpul dana untuk membangunkan Komplek Pengajian Tahfiz Bayu Syahadah akan diadakan pada 19 Nov 2009 (Khamis), jam 3.00 petang bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam.

Antara usaha yang akan saya lancarkan ialah satu siri persembahan "LE TOUR DE TAHFIZ BAYU SYAHADAH" yang akan bermula tidak lama lagi. Jadual siri persembahan tersebut akan saya makluman dari masa ke semasa.

Nantikan berita seterusnya.

Nazrey Johani.

TAHFIZ BAYU SYAHADAH


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya Nazrey Johani, selaku pengerusi projek pembinaan KOMPLEKS PENGAJIAN TAHFIZ BAYU SYAHADAH ingin memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah swt, Rabbul 'alamin, kerana dengan keizinan-NYA, projek pembinaan sekolah tahfiz di Sabah ini telah mula mengorak langkah sedikit demi sedikit berkat kesungguhan kumpulan kami yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan projek ini dapat dijalankan dengan baik.

Seperti yang ramai dari kalangan masyarakat kita sedia maklum, di Sabah, pembelajaran ilmu-ilmu agama agak kurang dan tarbiyyah keagamaan dari segi rohaninya, zahirnya, mahupun batinnya agak menyedihkan jika dibangdingkan denan negeri-negeri lain di semenanjung. Masalah sebegini tidak boleh dipandang ringan, bukan sahaja di Sabah, bahkan di seluruh dunia sekalipun.

Dengan demikian, saya bercadang untuk mendirikan sebuah sekolah tahfiz di negeri kelahiran saya sendiri bagi melahirkan lebih ramai generasi yang beriman, beramal dan bertaqwa yang akan menjadikan perjuangan agama Allah sebagai matlamat hidup. Namun semua ini tidak akan tercapai tanpa sokongan ikhlas daripada tuan-tuan. Ayuh marilah kita bersama-sama menyumbang untuk saham akhirat yang akan menjadi bekalan untuk kita di sana kelak, insyaAllah.

Akhir kata, saya dahulukan sokongan tuan puan dengan lafaz jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Allah yang mampu membalas jasa tuan puan di akhirat kelak. Memang benarlah janji Allah, selangkah kita pada-NYa, SERIBU LANGKAH-NYA pada kita.

Nazrey Johani